18 Jul 2012

RM 7.00 Kadar Zakat Fitrah Tahun 1433H

RM 7.00 Kadar Zakat Fitrah Tahun Ini

10 Julai 2012 (Selasa) -  Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Kelantan kekal pada RM7 tahun ini, kata Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) Datuk Kamaruddin Mohd Zin. Beliau berkata ketetapan tersebut diputus Maik selepas diperkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

"Adalah dijangkakan kutipan zakat fitrah pada tahun ini ialah RM7.9 juta berbanding RM7.8 juta pada 2011, iaitu peningkatan sebanyak 1.28 peratus. Ini disebabkan penambahan penduduk khasnya dalam kalangan umat Islam di negeri ini," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata Maik melantik 611 amil untuk memungut zakat fitrah, yang terdiri daripada imam masjid, pegawai agama di kem-kem tentera, balai polis dan pusat tahanan. Kamaruddin berkata pihaknya turut menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat fitrah melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) Maxis bermula 1 hingga akhir Ramadan tahun ini.  Bagi zakat harta pula, Maik mengalu-alukan orang ramai untuk berbuat demikian di kaunter pejabat Maik yang akan dibuka mulai 21 Julai hingga 18 Ogos termasuk hari cuti umum dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

"Selain itu, pembayar zakat juga boleh membuat pembayaran melalui institusi perbankan yang dilantik Maik sebagai ejen kutipan zakat iaitu Bank Islam (M) Bhd (BIMB), CIMB, AmBank, Maybank dan Bank Rakyat.

Pembayaran boleh dilaksanakan dengan menggunakan perkhidmatan kaunter dan perbankan Internet," katanya. Katanya, orang ramai juga boleh membuat pembayaran zakat melalui pejabat pos di seluruh negeri. Kamaruddin berkata Maik memungut RM90.3 juta kutipan pelbagai jenis zakat tahun lalu berbanding RM90 juta pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan 33.82
peratus.

"Adalah dijangkakan pada tahun ini, kita dapat memungut RM100 juta dari pelbagai jenis zakat, termasuk zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat perniagaan, zakat emas/perak, zakat saham, zakat pertanian dan zakat ternakan," katanya. – Bernama