24 Jun 2009

Beguri Kelantan Trade Centre

Kelantan Trade Centre




Pusat Dagangan Kelantan atau lebih dikenali dengan Kelantan Trade Centre (KTC) kini telah siap. Sekiranya Tuan Puan berada di sekitar Kota Bharu, tentunya akan terpandang bangunan ini. Ia terletak di Jalan Bayam, berdekatan dengan Stadium Sultan Mohd IV, Medan Usahawan, Perpustakaan Awam dan lebih tepat lagi di antara Hospital Pakar Perdana dan Hotel Perdana. Ia akan menjadi mercu tanda baru di Negeri Kelantan.

Senibinanya berkonsepkan Islam, tentu saja. Projek ini dibangunkan secara usaha sama di antara PKINK dan Kumpulan Kelkon. Ia diuruskan oleh KTC Convention & Apartment Sdn Bhd, sebuah anak syarikat.

KTC mempunyai komponen seperti berikut :-

1 Blok 8 Tingkat Office Tower :
- 6 Tingkat Ruang Pejabat (8,000 kp/tingkat) & 2 Tingkat Retail
- 3 Convention Center (16,500 kp)

1 Blok 18 Tingkat Apartment Tower:
- 255 Unit Service Apartment
- 4 Unit Penthouse
- Bistro / Cafe ( 3,000 kp) terdiri dari dapur dan tempat makan

- Conference Room terbahagi kepada 2 ia itu North Wing & South Wing

Karnival Pekerjaan

Tempat kawae kerja akan beguri mengadakan event yang pertama di KTC. Pada 11 & 12 Julai 2009 Jabatan akan mengadakan Program Penempatan Pekerjaan (3P) @ Karnival Pekerjaan @ Jobfair. Pada hari-hari tersebut sejumlah majikan akan mengadakan aktiviti temuduga terbuka, bagi mendapatkan pekerja-pekerja baru. Pencari kerja yang terdiri dari berbagai peringkat (ijazah, diploma, STPM, SPM dan lepasan kemahiran) biasanya akan berebut-rebut datang untuk mendapatkan peluang kerja. Majikan adalah terdiri dari berbagai industri dan dari dalam dan luar Kelantan.

Pada hari tersebut juga, para penganggur akan berpeluang mendapatkan peluang kemahiran melalui Program Train & Place. Penyedia-penyedia latihan akan juga berada di sana bagi menyaring peserta-peserta yang sesuai untuk tempat mereka. Para graduan, belia dan pekerja yang diberhentikan kerja akan dapat memilih kursus-kursus yang digemari oleh mereka. Lepasan program Train & Place ini akan diberikan peluang kerja setelah tamat kursus kelak. Kalu tak dok kejo molek benar sertai.

Majikan yang akan mengadakan temuduga terbuka ada sebanyak 23, Penyedia Latihan sebanyak 20 dan juga ada 11 agensi awam yang akan mengadakan pameran hari terbuka masing-masing.

Kalau nak tahu lanjut pasal program ni boleh lah hubungi nombor ini, 09-7481870.

3 Jun 2009

Pokok Tterae

Kalau tuan muda teruna,
Pakai seluar dengan gayanya,
Kalau tuan bijak laksana,
Biji di luar apa buahnya


Pantun di atas membayangkan keunikan buah ini, kerana ia merupakan satu-satunya buah yang mempunyai biji di bahagian luar buah. Pokok ini adalah ketereh atau lebih tepat lagi tterae bagi orae Kelatae. Gajus adalah panggilan yang terkenal. Ia juga dikenali sebagai janggus dan jambu golok. Buah tterea dalam Bahasa Inggeris ialah cashew, di ambil dari perkataan Portugis 'caju', yang pada asalnya diambil dari perkataan orang asli Tupi, di Brazil (tempat asalnya) ia itu acajú. Mungkinkah juga gajus dari perkataan caju? Nama saintifiknya pula ialah Anacardium occidentale dan ia tergolong dalam famili Anacardiaceae.

Ia sejenis pokok rendang yang pada zaman dahulu biasa ditanam di tepi sawah sebagai teduhan untuk berehat selepas penat bekerja. Pokok tterae yang boleh mencapai ketinggian hingga 15 meter. Ia dapat hidup lebih subur di kawasan yang berpasir seperti kawasan tepi pantai dan di kawasan kampung. Ia di bawa masuk ke Semenanjung Tanah Melayu pada sekitar 1940an oleh Syarikat Penang Rubber Estate Limited.



Pokok tterea mengeluarkan daun-daun bujur yang tebal dan sangat lebat, dengan urat-urat daun yang timbul dan menonjol, teksturnya pula licin. Saiznya lebih kurang 18 cm panjang dan lebar antara 5 hingga 7 cm dan tersusun secara bertentangan. Pucuk-pucuknya yang baru mempunyai warna kemerah-merahan. Pucuk yang muda ini dijadikan ulam mentah, dicicah dengan budu, sambal belacan atau cencaluk. Ia sedap dimakan kerana baunya yang menyelerakan dan juga rangup apabila dikunyah. Rasanya yang lemak-lemak kelat juga menyebabkan ia merupakan antara ulam yang menjadi pilihan. Pucuk tterea dapat dibeli dengan harga samah (50 sen) seikat.








Batang pokok ini boleh mengeluarkan getah yang akan mencederakan kulit jika terkenanya. Kulit akan menjadi melepuh seperti terkena getah macae (bacang).

Buahnya berbentuk seperti buah pear dengan bijinya yang berbentuk ginjal diluar. Buah dan bijinya berwarna hijau ketika muda dan akan menjadi berwarna kuning atau merah (bergantung kepada varietinya) apabila masak. Tekstur buahnya lembut dan mempunyai air yang banyak dengan isi dalamnya berwarna putih. Buah tterea mengandungi 5 kali lebih vitamin C dari buah oren dan mengandungi kalsium, zat besi dan vitamin B1 dari buahan lain seperti sitrus, avocado dan pisae.

Buah tterea mengeluarkan bau yang manis. Rasanya pun manis tetapi sedikit pijar jika dimakan begitu saja. Buahnya ini tidak boleh dimakan dengan banyak kerana boleh meninggalkan rasa ‘lekat ttekak’. Namun rasa lekat ttekak ini dapat dikurangkan apabila diperah dan dijadikan kerabu. Awas! Ia amat bisa bagi orang yang menghidap penyakit batuk dan lelah.

Gajus di tanam untuk bijinya. Butir tterea menjadi komoditi penting bagi beberapa buah negara di dunia ini. Butir tterea merupakan antara kekecang yang paling enak dan mahal di dunia ini. Ia diambil sebagai snek dan juga dalam ramuan masakan. Berikut adalah senarai pengeluar butir tterea dunia sehingga Jun 2008 yang berjumlah 3,186,039 tan.

Negara Pengeluaran (tan)

1. Vietnam - 961,000
2. Nigeria - 660,000
3. India - 620,000
4. Brazil - 176,384
5. Indonesia - 146,000
6. Côte d'Ivoire - 130,000
7. Philippines - 118,000
8. Tanzania - 92,000
9. Guinea-Bissau - 81,000
10. Mozambique - 58,000

Walaupun butir tterea merupakan produk utama yang diperoleh dari pokoknya namun terdapat beberapa kegunaan lain yang didapati dari bahagian lain pokok ini. Kayu pokok gajus mengeluarkan resin yang banyak. Resinnya akan dijadikan varnish yang dapat menahan serangan anai-anai dan serangga perosak rumah yang lain.

Minyak yang didapati dari kulit butir tterae di kenali sebagai CNSL (Cashew Nut Shell Liquid). Ia terletak di dalam tisu diantara dua dinding kulit butirnya. CNSL banyak gunanya dalam bidang industri seperti untuk cecair brek automobil dan kapal terbang , bahan pelekat, cat pewarna, racun serangga, insulasi elektrik dan anti mikrob.

Banyak kegunaan perubatan di dapati dari daun, kulit kayu dan jus buah tterae. Kulit kayu direbus dan boleh dijadikan ubat cirit birit. Minyak dari butirnya boleh mengubati jangkitan kulit yang disebabkan oleh larva parasit yang hidup di bawah kulit dan juga ketuat. Bahan-bahan ini juga kini dijadikan shampoo dan conditioner. Dari butir dan isinya telah ditemui satu kompaun yang boleh menghalang kerosakan gigi.

Kerabu Buah Tterae

Bahan-bahan:

5 biji buah tterae (ketereh/gajus)
seekor ikan kembung dibakar
setengah cawan santan kelapa, diperah menggunakan air masak
sedikit lada hitam ditumbuk kasar
sedikit kerisik
air perahan limau lipis
garam dan gula
2 ulas bawang merah
sedikit cili padi jika suka

Caranya:

  1. Buah tterae diracik halus kemudian diperah.
  2. Tumbuk isi ikan kembung bersama bawang merah, kerisik dan lada hitam
  3. Masukkan garam dan gula. Gaul bahan tadi bersama buah tterae dan santan.
  4. Masukkan jus limau nipis secukup rasa dan masukkan juga cili padi yang dipotong kecil-kecil jika suka.
  5. Sedia untuk dihidang